Bahagian Hadis

Jawapan: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab RA, katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang hanya mendapat apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan untuk dunia atau wanita, maka hijrahnya adalah kepada niatnya sahaja." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Setiap amalan mestilah disertai dengan niat, sama ada solat, puasa, haji atau amalan-amalan lain.
2. Pentingnya ikhlas dalam niat semata-mata kerana Allah SWT.

Jawapan: Daripada Ummul Mukminin Ummu Abdullah, Aisyah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membuat sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini yang bukan daripadanya, maka ia tertolak." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Larangan daripada melakukan perkara bidaah dalam agama.
2. Amalan yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak dan tidak diterima.

Jawapan: Daripada Umar bin al-Khattab RA, katanya: "Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan berambut sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda sebagai seorang musafir, dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya. Dia duduk di hadapan Nabi SAW, lalu menyandarkan lututnya ke lutut baginda dan meletakkan tapak tangannya di atas pehanya, kemudian berkata: 'Wahai Muhammad, terangkan kepadaku tentang Islam.' Rasulullah menjawab: 'Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah jika mampu.' Lelaki itu berkata, 'Benar.' Kami merasa hairan kerana dia bertanya dan kemudian membenarkan jawapannya. Dia berkata lagi, 'Terangkan kepadaku tentang iman.' Rasulullah menjawab: 'Iman ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan takdir baik dan buruk.' Lelaki itu berkata, 'Benar.' Dia berkata lagi, 'Terangkan kepadaku tentang ihsan.' Rasulullah menjawab: 'Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu.' Lelaki itu berkata, 'Beritahu aku tentang kiamat.' Rasulullah menjawab, 'Yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.' Dia bertanya lagi, 'Beritahu aku tentang tanda-tandanya.' Rasulullah menjawab: 'Apabila seorang hamba melahirkan tuannya, dan kamu melihat orang yang miskin, bertelanjang, dan pengembala kambing saling berlumba-lumba mendirikan bangunan tinggi.' Kemudian dia berlalu pergi, dan kami terdiam sejenak. Lalu Rasulullah bersabda, 'Wahai Umar, tahukah kamu siapa yang bertanya tadi?' Aku berkata, 'Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.' Rasulullah bersabda, 'Dia ialah Jibril, yang datang untuk mengajarkan kamu tentang agama kamu.'" Riwayat Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Menyebutkan lima rukun Islam iaitu:
- Mengucap syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah.
- Mendirikan solat.
- Menunaikan zakat.
- Berpuasa pada bulan Ramadan.
- Menunaikan haji ke Baitullah.
2. Menyebutkan enam rukun iman iaitu:
- Beriman kepada Allah.
- Beriman dengan malaikat-Nya.
- Beriman dengan kitab-kitab-Nya.
- Beriman dengan para rasul-Nya.
- Beriman dengan hari akhirat.
- Beriman dengan takdir, sama ada yang baik atau yang buruk.
3. Menyebutkan rukun ihsan iaitu satu perkara, iaitu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya. Jika tidak, yakinlah bahawa Dia melihat kita.
4. Masa berlakunya hari kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT.

Jawapan: Daripada Abu Hurayrah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya." Riwayat al-Tirmidhi, dan beliau menyatakan: 'Hadis hasan sahih.'
Faedah daripada hadis ini:

1. Galakan untuk memiliki akhlak yang baik.
2. Kesempurnaan akhlak adalah tanda kesempurnaan iman.
3. Iman boleh bertambah dan berkurang.

Jawapan: Daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, dia telah kufur atau melakukan syirik." Riwayat al-Tirmidhi.
Faedah daripada hadis ini:

- Tidak dibenarkan bersumpah kecuali dengan nama Allah SWT.
- Bersumpah dengan selain Allah adalah termasuk dalam syirik kecil.

Jawapan: Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada bapanya, anaknya, dan manusia keseluruhannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

- Mencintai Nabi SAW lebih dari segala manusia adalah wajib.
- Ini adalah tanda kesempurnaan iman.

Jawapan: Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

- Seorang mukmin harus menginginkan kebaikan untuk orang lain sebagaimana dia menginginkannya untuk dirinya sendiri.
- Ini adalah tanda kesempurnaan iman.

Jawapan: Daripada Abu Sa'id RA, Rasulullah SAW bersabda: "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya! Sesungguhnya surah ini (al-Ikhlas) sebanding dengan sepertiga al-Quran." Riwayat al-Bukhari.
Faedah daripada hadis ini:

- Kemuliaan Surah al-Ikhlas.
- Ia sebanding sepertiga al-Quran.

Jawapan: Daripada Abu Musa al-Asy'ari RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Zikir 'La hawla wa la quwwata illa billah' adalah salah satu daripada khazanah-khazanah syurga." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Keutamaan zikir ini yang merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah syurga.
2. Sewajarkan seorang hamba bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT, dan berlepas diri daripada usaha dan kekuatannya.

Jawapan: Daripada Nu'man bin Basyir RA, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging; jika ia baik, baiklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Hati yang baik membawa kepada zahir dan batin yang baik.
2. Kewajipan untuk mengambil berat berkenaan hati, kerana ia adalah punca kebaikan seseorang.

Jawapan: Daripada Mu'az bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang akhir ucapannya: 'La ilaha illallah'; dia akan masuk syurga." Riwayat Abu Dawud.
Faedah daripada hadis ini:

1. Kemuliaan kalimah 'La ilaha illallah' yang dapat membawa seseorang masuk syurga.
2. Kelebihan mengakhiri hayat dengan kalimah ini.

Jawapan: Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu bukan pencela, bukan pelaknat, bukan yang berkata keji dan bukan yang berkata kotor." Riwayat al-Tirmidhi.
Faedah daripada hadis ini:

- Larangan mengucapkan perkataan keji dan buruk.
- Ini adalah ciri seorang Mukmin (orang beriman).

Jawapan: Daripada Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya." Riwayat al-Tirmidhi dan lain-lain.
Faedah daripada hadis ini:

1. Meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat dalam urusan agama dan dunia.
2. Ciri ini menunjukkan kesempurnaan Islam seseorang.

Jawapan: Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh. Sahaya tidak mengatakan: Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." Riwayat al-Tirmidhi.
Faedah daripada hadis ini:

1. Kelebihan membaca al-Quran.
2. Setiap huruf al-Quran yang dibaca, akan diperoleh banyak kebaikan (pahala).
********